Thursday, June 28, 2012

Provokasi Himpunan Hijau Anti Lynas Disifatkan Tidak Sihat


KUANTAN – Rancangan kumpulan Himpunan Hijau untuk menghalang kemasukan bahan mentah projek Lynas dianggap satu agenda kurang sihat yang bertujuan untuk menimbulkan kekecohan di Pelabuhan Kuantan.
Penyelaras Bersama, Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Mendukung Agenda Untuk Nasional (Daun), Ezad Zainal berkata, tindakan nekad itu tidak akan membantu mengubah keputusan sebaliknya hanya mengundang rasa kurang
senang rakyat negara ini khususnya penduduk Kuantan.

“Kenyataan yang dikeluarkan dalam Sinar Harian semalam jelas menunjukkan kumpulan itu sengaja mahu menimbulkan kekecohan dan mengikut perasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, petang semalam. Turut hadir, Penyelaras Daun, Wan Emril Nizam Wan Embong.
Ezad berkata, beliau mahu pihak polis menyiasat perkara ini di bawah Akta Hasutan 1948 serta mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan kumpulan itu mengganggu ketenteraman awam.
“Kenyataan Pengerusinya, Wong Tack yang tidak mengendahkan kesan dan akibat perhimpunan itu jelas menunjukkan bahawa mereka sanggup melanggar undang-undang serta turut berniat untuk menghasut orang ramai melakukan perkara yang sama.
“Justeru, kami berharap pihak polis memandang berat tentang perkara ini supaya tidak berlaku kekecohan di Kuantan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penyokong anti-Lynas supaya tidak mengambil tindakan sendiri demi untuk kepuasan diri.

“Kami mempelawa penyokong anti-Lynas untuk menyertai Daun jika mereka benar-benar ingin memperjuangkan semangat cintakan alam sekitar. Bukannya dengan cara yang negatif.

“Apa yang mereka lakukan, sedikit pun tidak mendatangkan kebaikan, sebaliknya hanya mengundang masalah,” katanya 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...